assalamualaikum wbt.
Terima kasih yang sudi baca dan bagi komen. Bila dah post kat iiumc ni memang dah ready dah untuk kena tohmah. Tapi tak apa, aku terima dan baca semuanya sebab apa yang korang komen tu ada betulnya. Okey, aku nak kupas dan tambah sikit lagi. Nak minta maaf pun ya jugak, bukan nak tegak benang basah ke apa. Siapa nak baca sila, tak nak sudah.
1. Penggunaan ‘cikgu tua yang nak pencen’
Sekali baca mungkin kurang ajar kan. Tapi bila fikir balik aku personally rasa tak kasar pun, tapi kalau kasar jugak aku minta maaf (ya nanti aku jumpa cikgu tu dan minta maaf juga insyaallah) . Tua= berusia, cikgu tu memang dah berusia, 50-an. Nak pencen = dia memang dah nak pencen pun tahun depan ke tahun lagi satu, tak ingat. Bila baca komen pembaca baru aku teringat perkataan lebih cantik dan sopan. ‘Cikgu veteren’. Aku patut guna perkataan ni. Terima kasih yang menegur. Mungkin ya aku kurang ajar, tapi aku pun pernah ada cikgu, bukanlah keji sangat perangai nak gelar pendidik macam tu. Mungkin masa tulis ni beremosi kan, tak ingat perkataan yang lebih cantik.
2. Salahkan cikgu, salahkan orang lain
Aku tak ada sebut pun adik aku dapat F Math sebab cikgu tu. Keputusan teruk adik aku dengan cikgu tu tak ada kaitan pun. Ya, aku tak pernah tengok macam mana cikgu veteren ni mengajar. Sebab tu aku tak komen pun pasal pengajaran dia. Aku cuma cerita dan buat andaian tentang komen dia beri pada mak aku tentang kegagalan pelajar. Tajuk aku bukan bermaksud ‘cikgu veteren’ tu yang ‘musnahkan result peperiksaan adik aku’. AKU TAK TULIS PUN MACAM TU. Yang aku takut memusnahkan masa depan ialah mentaliti putus asa dengan murid. Oh ya, ada yang tulis ‘mana kau tahu cikgu tu putus asa’. A’ah, aku mana tahu cikgu tu putus asa ke tak. Itu cuma andaian jahat aku saja. AKU TAKUT, cikgu tu dah pun berputus asa. Aku harap tidak. Ada yang kata aku tuduh/ fitnah/ serkap jarang dengan cikgu veteren tu.
Ya, memang aku dengar dari mak aku je, bukan aku yang pergi jumpa sendiri. Sebab tu aku tulis ‘barangkali’. Ramai yang kata bagus juga pandangan cikgu tu. Kan aku kata, tak 100% salah. AKU CUMA TAKUT, banyaknya mentaliti macam tu sampai anak-anak yang sepatutnya berpotensi jadi tak ada motivasi lantas kecundang. Aku cuma mohon dan harap semua cikgu pegang mentaliti yang positif untuk anak murid tak kira malas atau rajin, bodoh atau pandai. Aku tak mohon cikgu-cikgu berjayakan jugak anak-anak murid tu walau macam mana sekalipun. Aku minta keikhlasan je (tak payah tanya ‘kau mana tau ikhlas ke tak’, tepuk dada tanya iman) . Aku bukan kata cikgu veteren ni tak ikhlas, aku mohon dan pesan secara am kepada semua cikgu.
3. Sibuk ‘hentam’ cikgu lupa nak ‘hentam’ adik aku / Adakah aku pantau adik aku?
Ni memang diakui, aku lupa nak cerita sebab time tulis tu dah berjela-jela. Adik aku memang malas. Aku ulang, MALAS. Dia duduk asrama ya. Yang tanya aku pantau ke tak tu, aku pantau bila dia balik rumah hujung minggu dan time cuti jelah. Bila balik weekend asyik lesap je. Kadang pergi main bola, kadang duduk surau tak balik-balik. Belajar pun celup-celup je. Bila tanya okey ke tak, okey je sokmo. Bila suruh tanya kalau tak faham tak tanya-tanya pun. Aku dah nak hampir 10 tahun tinggalkan sekolah, kalau dia minta ajar Math belum tentu boleh jawab elok. Nak terang tak reti untuk bagi dia faham. Jadi aku minta adik aku yang form 5 dan lepas SPM tulah untuk jawab kalau dia tanya soalan. Ni tak cukup pantau ke? Yang cakap mak aku cikgu tapi tak pantau tu, tak payah sembanglah kalau tak tahu ya. Korang pun samalah, tahu buat andaian je. Mak aku dah dekat 30 tahun jadi cikgu. Kitorang pun selalu tanya dia kenapa dia tak tegas dengan adik-adik bawah ni. Dengan kitorang yang besar2 ni bukan main dulu bertempik suruh belajar. Apa mak ayah aku jawab? Dia kata diorang dah tua. Tak larat nak all out macam dulu. Mungkin cikgu veteren tu pun macam mak ayah aku. Kalau ya, nak buat macam mana kan, terima jelah. So kitoranglah adik-beradik all out suruh dia belajar. Mak aku tak pantau korang kata? Belikan buku latihan macam-macam dah, tapi dia tak buat juga. Buat pun buat cara dialah, celup-celup.
Kitorang dah masak dengan perangai adik ni. Sebab tu tak pernah salahkan cikgu. Yang cakap bulan 7 baru gelabah tu, sila jangan gelabah jugak nak menuduh. Dari dia form 1, 2 lagi kitorang dah gelabah. Eh tak, dari dulu lagi dah gelabah. Hujung tahun lepas aku tanya adik aku, dia memang tak faham langsung cikgu ajar atau dia tak buat latihan. Aku tanya sebab aku nak tahu dia memang slow learner atau dia cuma malas. Aku tanya pengetahuan basic subjek2, nak tahu dia faham tak yang basic. Dia kata dia faham. Maknanya dia memang MALAS. Kakak aku pun raya hari tu duduk buat Math dengan dia. Terkejut dia bila adik aku basic pun lemah lagi. Korang kata aku tak pantau? Kitorang tak pantau? Ayah aku pun duk bermonolog banyak kali, apa yang adik aku buat kat asrama. Tv tak ada, handphone tak ada tapi masih malas. Sekali pun tak pernah ayah aku sebut cikgunya teruk atau malas. Logiklah sikit. Mak aku sendiri cikgu takkan dia nak salahkan cikgu bila anak dia result teruk dan malas.
Terima kasih yang bagi cadangan pecutan akhir untuk adik aku yang MALAS ni. Kitorang akan usaha mana yang mampu.
4. Salah ke mak aku tanya apa patut buat?
Bila mak aku tanya macam ni korang kata mak aku tak faham-faham lagi. Tapi tadi korang yang suruh mak ayah pantau kan? Jadi mak aku tanya untuk tahu bahagian mana yang dia patut pantau. Adik aku ni jenis tak fokus masa cikgu mengajar ke? Kalau tak fokus nak cari jalan terbaik untuk bagi dia fokus bila balik rumah. Mak aku tanya bukan nak suruh CIKGU BUAT SESUATU, tapi sebab DIA YANG NAK BUAT SESUATULAH KAT RUMAH! Mak aku tanya macam-macam pasal adik aku, perangai dia. Dia kurang ajar dengan cikgu ke tak. Yalah, mungkin result dia teruk sebab kurang ajar dengan cikgu macam yang pembaca kata. Kita tanya sebab nak baiki, bukan nak suruh orang lain tolong baiki. Itu saja.
5. PT3 je baru/ ada cabang pendidikan lain cth : kemahiran
Ya. Memang baru PT3. Tapi tak naklah tunggu sampai SPM baru nak gelabah. Ni bukan masalah nak pressure atau nak paksa adik dapat keputusan cemerlang. Apa yang kitorang paling sebut-sebut pasal masalah adik aku ni bukan tentang dapat stret A ke apa, tapi pasal usaha. Ayah aku sebut banyak kali. Usaha tak ada. Seperti yang aku cakap kat atas, adik aku ni MALAS. Mungkin juga slow learner. Kitorang ‘hentam’ dan pressure dia bukan untuk dapat result gempak. Tapi kecewa sebab dia tak nak berusaha. Adik-adik aku yang lain pun bukanlah gempak mana result, tapi memang nampak usaha. Contoh adik aku yang nombor lima. Result SPM okey, dapatlah masuk asasi. Mungkin dia sendiri rasa tak cukup, tapi kitorang dah gembira amat. Sebab apa, tak dinafikan dia memang sangat-sangat berusaha. Kitorang bukan nak adik-adik dapat result gempak kebaboom, kitorang cuma tak nak DIORANG MENYESAL KEMUDIAN HARI SEBAB TAK BERUSAHA. Macam ada yang pembaca sebut, keputusan ni semua ketentuan ALLAH. Ya, setuju sangat-sangat. Natijahnya serah pada Allah, manusia cuma perlu berusaha. Kitorang bukan nak ajar adik dapat result gempak, kitorang cuma nak ajar diorang berusaha dan bersyukur dengan usaha yang diorang buat. Itu saja.
Pasal bidang kemahiran. Aku pun cetek pasal pengatahuan ni. Kebetulan baru sembang dengan abang aku pasal benda ni. Aku tanya bidang kerja apa yang ada untuk orang lulusan kemahiran. Aku tanya sebab memang aku tak arif. Abang aku pun cakap, jangan pandang rendah orang ada sijil kemahiran ni. Silap-silap boleh buat duit banyak dari orang makan gaji. Dia cerita kawan dia ada sijil kemahiran welding dapat projek ribu raban. Aku pun barulah faham. Memang betul pun. Pandai buat kek boleh jual kat orang, sebiji rm100 tiga biji dah berapa kan. So kitorang terbuka saja kalau adik aku minat ke arah kemahiran. Tak pernah ada pandangan negatif pun pada bidang tu. Kalau dia ada minat, baik salurkan ke arah sana.
6. Aku percaya 60% kejayaan murid datang dari cikgu (korang tak nak percaya sudahlah, please feel free to disagree)
Aku dulu pun kelas last jugak masa form five. Form four honeymoon sampai subjek penting failed. Tapi alhamdulillah Allah campakkan cikgu-cikgu yang rajin untuk tolong aku. Masa bulan puasa, 15 minit sebelum berbuka baru cikgu lepas keluar makmal, punya semangatnya nak mengajar. Kelas sivik seni semua tukar jadi kelas subjek sains sebab nak all out. Mak aku kata, masa aku form five dulu susah betul dapat balik rumah weekend, sikit2 kelas. Ya, kalau diri malas tak boleh juga. Jadi, aku yang malas ni telah dipush oleh cikgu-cikgu yang hebat dan dedikasi supaya jadi rajin. Cikgu akan semangat nak tolong kalau pelajar pun tunjuk kesungguhan. Cikgu-cikgu aku dulu memang dari awal lagi dah detect siapa pelajar lemah dan siap-siap letak diorang dekat dengan dia. Budak lemah duduk depan, yang dah pandai duduk belakang. Memanglah pelajar tu ramai, tak terhandle semua, tapi kesungguhan dari cikgu pun penting. Hari-hari cikgu tunjuk kat kitorang sejarah senior-senior lepas. Dari zero to hero. Kitorang pun jadi semangatlah. Kitorang rasa kitorang pun boleh buat. Cikgu macam nilah yang kita nak!
Once dah bina prestasi, cikgu tu takkan mudah-mudah nak jatuhkan prestasi dia. Tu yang aku cuba sampaikan. Dalam kerjaya apa pun, kita kena cuba bina prestasi, lepas tu baru ada kesungguhan nak kekalkan. Aku rasa tu apa yang cikgu-cikgu aku buat dulu. Sentiasa percaya dan push pelajar-pelajar untuk berusaha. Bila cikgu dah push, tapi diri sendiri masih kat situ, nak buat macam mana kan. Sebab tu aku kata 60% je, lagi 40% diri sendiri, keluarga, doa amalan dan lain-lainlah. Konklusinya, cikgu dan murid sama je. Nak seribu daya tak nak seribu dalih.
Akhir kata, selamat hari raya maaf silap salah. Untuk golongan pendidik, maaf kalau post ni buat korang sentap. Macam yang aku ulang banyak kali, tak semua cikgu tu jahat. Masih ramai cikgu baik dan berdedikasi macam cikgu-cikgu aku dulu. Jangan sentap, buang yang keruh ambil yang jernih sudah. Tajuk aku tu mungkin kasar dan aku tahu semua marah pasal benda tu, tapi salah satu sebab aku buat tajuk tu adalah untuk tarik ramai pembaca. Kan aku kata, aku nak post ni dapat perhatian ramai, terutamanya golongan pendidik. Itu saja. Aku rasa insyaallah hasrat utama aku tu tercapailah jugak kan.
Sekian terima kasih. Jom istighfar sama-sama. Astaghfirullah al azim. Peace.
– Kakak yang sayangkan adik dan masa depannya
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit
0 Response to "Golongan Pendidik Yang Memusnahkan II"
Post a Comment